Home / Tanah Geran Berangkai? Lain Cara Rupanya Untuk Urusniaga Tanah Jenis Ni…

Tanah Geran Berangkai? Lain Cara Rupanya Untuk Urusniaga Tanah Jenis Ni…

Salah satu kategori hartanah selain daripada rumah dan unit-unit komersil adalah tanah.

Di dalam kategori hartanah jenis ini, tanah seringkali menimbulkan kekeliruan akibat kurang pengetahuan hasil dari terdapatnya pelbagai status bagi jenis tanah yang berbeza. Salah satunya adalah TANAH GERAN BERANGKAI.

Apakah maksud geran berangkai ini? Mari kita lihat kupasan oleh Tuan Salkukhairi Abd Sukor:

STATUS TANAH GERAN BERANGKAI.

Baru-baru ini ada anak guam saya tunjukkan kepada saya geran tanah arwah ayah beliau yang dikatakan sebagai TANAH GERAN BERANGKAI.

Apa itu tanah geran berangkai?

1. Tanah geran berangkai adalah merujuk kepada tanah-tanah yang mempunyai lebih daripada satu geran dan setiap geran tanah itu terikat/ berkait antara satu dengan yang lain.

2. Tanah geran berangkai ini tidak boleh dipisahkan satu sama lain SELAMA-LAMANYA.

3. Walaupun setiap tanah itu mempunyai nombor geran yang berbeza, tetapi sekiranya ianya dikategorikan sebagai tanah geran berangkai, setiap geran itu berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.

4. Contohnya begini:

Katakanlah ada 3 geran tanah yang berbeza,
Tanah A – Lot 1234
Tanah B – Lot 1567
Tanah C – Lot 1890

Walaupun ketiga-tiga tanah di atas mempunyai 3 geran tanah yang berbeza, tetapi sekiranya ianya dikategorikan sebagai tanah geran berangkai, ianya dianggap SATU dan saling terikat antara satu geran dengan geran yang lain. Dan ianya tidak boleh dipisahkan SELAMA-LAMANYA.

5. Kebiasaannya tanah geran berangkai ini adalah tanah yang digazetkkan sebagai tanah di bawah Akta Tanah Penempatan Berkelompok atau disebut sebagai GSA. Contohnya seperti tanah FELDA, FELCRA, DARA dan lain-lain.

Apa kesan pemilikan tanah geran berangkai?

Ingat! Jika anda memiliki tanah geran berangkai, perkara-perkara ini yang anda perlu ambil perhatian:

1. Anda tidak boleh melakukan sesuatu transaksi atau urusniaga ke atas mana-mana satu geran tanah tersebut melainkan transaksi / urusniaga tersebut akan mengikat juga geran geran tanah yang lain. Ertinya, kalau nak jual, kena jual sekali kesemua ketiga-tiga tanah tersebut sekali gus. Tak boleh jual asing-asing. Begitu juga untuk urusan gadaian dan pajakan.

2. Kebiasaannya tanah geran berangkai ini ada sekatan kepentingan padanya di mana ianya tidak boleh di pindah milik, dipajak, digadai dan lain-lain melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri. Jadi jika hendak melakukan apa-apa urusniaga terhadap tanah geran berangkai perlulah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis (consent) daripada Pihak Berkuasa Negeri, melalui pejabat tanah yang berkenaan.

3. Tanah geran berangkai juga kebiasaannya akan terikat dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Tanah Penempatan Berkelompok (GSA). Jadi, pastikan anda tahu apakah sekatan-sekatan dalam GSA yang akan mengikat geran-geran tanah berangkai tersebut seperti hak-hak pindahmilik, pewarisan dan pusaka berkaitan tanah GSA dan sebagainya.

4. Status tanah geran berangkai juga kebiasaannya akan dinyatakan dalam setiap geran tanah tersebut. Walaubagaimanapun ada juga sesetengah geran berangkai yang tidak ditulis dengan jelas tentang statusnya di dalam geran tanah.
Jadi pastikan anda buat semakan terlebih dahulu dengan Pejabat Tanah tentang status sebenar geran tanah tersebut. Sebab walaupun tak tulis dalam syarat nyata dalam geran tanah tentang status tanah geran berangkai tersebut, ianya tetap terikat kepada syarat tersirat yang ditetapkan oleh Pihak berkuasa Negeri berkaitan dengan tanah geran berangkai.

5. Banyak kes yang saya temui, pejabat tanah tolak permohonan kebenaran pindah milik atau pajakan disebabkan tanah tersebut berstatus geran berangkai sebagaimana yang saya nyatakan di atas, jika hendak jual dan sebagainya, perlu jual kesemua tanah tersebut bersekali. Tidak boleh dipisah-pisahkan.

Wallahuaklam. Moga bermanfaat.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Nak tahu hal berkaitan undang-undang hartanah macam atas ni?

Buku hartanah mahal?? Takdalah! Tak betul tu…

Nahhhhh… dapatkan Starter Pack Celik Hartanah, satu pek dengan 7 produk berkaitan hartanah.

Bukan hanya berkenaan undang undang, tapi merangkumi teknik pelaburan, interior design, sublet, lokasi hartanah dan juga ilmu kewangan!

Wow… pek lengkap ni! Dengan harga RM60 sahaja???? Double wow!

Klik gambar di bawah untuk info lanjut:


PERHATIAN: Celik Hartanah tidak bertanggungjawab terhadap komen yang ditulis melalui laman sosial media facebook ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun fb dan tidak semestinya menggambarkan pendirian penulis. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

KOMEN PANDANGAN & PENDAPAT ANDA DI BAWAH:
Share Artikel Dapat Duit Tepi

About Salkukhairi Abd Sukor

Salkukhairi Abd Sukor
Saya adalah seorang Peguam Hartanah dan merupakan Mantan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)