Home / Jangan Sampai Rumah Anda Dirampas Sebab Buat Bisnes Homestay!

Jangan Sampai Rumah Anda Dirampas Sebab Buat Bisnes Homestay!

UBAH RUMAH JADI HOMESTAY SALAH DARI SEGI UNDANG-UNDANG?

1. Disebabkan permintaan masyarakat terhadap homestay semakin meningkat dari sehari ke sehari, ramai pemilik rumah kediaman mengambil langkah mengubah rumah mereka menjadi homestay.

2. Tindakan ini walaupun dari segi bisnesnya menguntungkan pemilik premis itu sendiri, tetapi sebenarnya tanpa disedari ianya boleh mendedahkan pemilik premis kepada tindakan undang-undang.

3. Ini kerana setiap bangunan kediaman itu biasanya telah ditetapkan syarat nyata, syarat tersirat dan juga syarat kegunaan di dalam suratan hakmilik (geran) hartanah tersebut yang mana ianya hanyalah untuk tujuan kediaman sahaja.

4. Maka, sekiranya seseorang itu menggunakan rumah mereka untuk tujuan perniagaan seperti homestay, ianya jelas boleh dianggap sebagai melanggar syarat nyata, syarat tersirat atau syarat kegunaan hartanah tersebut daripada bangunan kediaman menjadi bangunan komersial.

5. Kesannya, pemilik hartanah tersebut boleh didenda di bawah Seksyen 127 (1A) Kanun Tanah Negara atau hartanah tersebut boleh dirampas di bawah Seksyen 129 Kanun Tanah Negara.

6. Selain daripada itu, setiap bangunan yang didirikan perlulah mematuhi syarat-syarat kelulusan bangunan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 mengikut kategori sesuatu bangunan tersebut.

7. Biasanya sesebuah bangun kediaman itu telah ditetapkan syarat- syarat binaan yang perlu ada sebelum pembinaan sesebuah bangunan itu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

8. Maka dengan mengubah rumah kediaman menjadi premis perniagaan seperti homestay, memerlukan pemilik mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan di bawah peruntukan Seksyen 74 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

9. Sekiranya gagal, maka bangunan yang digunakan sebagai homestay tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 72 dan 73 Akta Parit dan Saliran dan jika sabit kesalahan pemilik premis boleh dikenakan penalti atau premis tersebut boleh dirobohkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

10. Selain daripada itu, tindakan pemilik rumah kediaman menjadikan premis mereka sebagai homestay dibimbangi boleh menyebabkan kacau ganggu kepada pemilik bangunan berhampiran termasuklah jiran dan penduduk sekitar.

11. Tindakan penyewa homestay yang meletakkan kenderaan mereka ditepi-tepi jalan atau membuat bising di premis homestay tersebut boleh menyebabkan halangan dan gangguan kepada pemilik premis yang lain.

12. Perkara ini menyalahi Seksyen 86 Akta Parit dan Saliran 1974 dan juga peruntukkan Undang-undang Kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

13. Selain daripada itu juga, rumah kediaman yang digunakan sebagai homestay tidak dilindungi oleh polisi insurans bangunan kediaman kerana ianya telah menyalahi syarat kegunaan bangunan tersebut daripada rumah kediaman kepada bangunan komersial. Maka, jika berlaku sesuatu musibah, rumah tersebut tidak dilindungi oleh polisi insurans.

14. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya kerajaan menggubal satu undang-undang yang khusus untuk mengawal dan menyelia urusan berkaitan perniagaan homestay ini.

15. Selain daripada disyaratkan keperluan mendaftarkan perniagaan homestay tersebut, pemilik juga perlu mendapatkan lesen operasi homestay daripada pihak berkuasa tempatan dan perlu terikat dengan syarat-syarat dan spesifikasi bangunan yang bersesuaian dengan premis komersial untuk tujuan homestay tersebut.

16. Pemilik homestay juga perlu membuat permohonan tukar syarat kegunaan tanah untuk sementara waktu dari status bangunan kediaman kepada komersial bagi membolehkan ia mematuhi syarat kegunaan bangunan yang sesuai.

17. Selain daripada itu pemilik homestay yang telah memperolehi lesen pengendali homestay daripada pihak berkuasa tempatan juga kelak perlulah mempastikan pelanggan mereka tidak membuat kacau ganggu terhadap jiran-jiran dan pemilik premis sekeliling. Sekiranya gagal, lesen operasi homestay mereka boleh dibatalkan.

18. Cadangan ini bukanlah bertujuan untuk menyekat orang ramai menjalankan perniagaan homestay tetapi sekadar untuk mempastikan keselesaan dan keselamatan bukan sahaja kepada bangunan tersebut bahkan juga kepada pengunjung yang menyewa homestay tersebut.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR.
Timbalan Presiden,
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Padu  dan mantap…kan topik perundangan hartanah seperti di atas?

Ingin belajar lagi undang-undang hartanah? Dan perkara lain seperti lokasi best, hiasan dalaman, teknik sublet dan ilmu kewangan?

RM60 je untuk semua tu? WOW, best kan?  Tapi untuk masa terhad! Rugi tak rebut cepat Starter Pack Celik Hartanah ni.

KLIK gambar di bawah untuk maklumat lanjut:


PERHATIAN: Celik Hartanah tidak bertanggungjawab terhadap komen yang ditulis melalui laman sosial media facebook ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun fb dan tidak semestinya menggambarkan pendirian penulis. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

KOMEN PANDANGAN & PENDAPAT ANDA DI BAWAH:
Share Artikel Dapat Duit Tepi

About Salkukhairi Abd Sukor

Salkukhairi Abd Sukor
Saya adalah seorang Peguam Hartanah dan merupakan Mantan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)