Home / Sebelum Beli/Jual Hartanah / Asas Hartanah / 5 Jenis Penyewa Dari Neraka Serta Cara Nak Handle Mereka

5 Jenis Penyewa Dari Neraka Serta Cara Nak Handle Mereka

Sebagai tuan rumah, selepas kita berjaya membeli hartanah, pasti kita akan fokus kepada dua tujuan utama kegunaan hartanah tersebut iaitu sama ada untuk tujuan tempat tinggal sendiri atau sebagai pelaburan yang berkemungkinan dapat menjana pendapatan melalui hartanah terbabit. Terdapat pelbagai cara untuk menjana pendapatan daripada pelaburan hartanah dan salah satunya yang saya akan fokuskan di dalam artikel ini adalah melalui sewaan.

Sewaan hartanah pula terdapat beberapa jenis seperti:

1) Sewaan secara langsung antara tuan rumah dan penyewa.

2) Sewaan atas sewaan atau sublet. Iaitu di antara penyewa dan pihak penyewa kedua (yang menyewa daripada penyewa pertama).

3) Sewaan secara harian/mingguan/bulanan samada secara langsung atau melalui khidmat platform seperti AirBnB.

Apabila kita berjaya mendapatkan penyewa, sudah pasti kita akan merasa gembira, tatkala memikirkan duit pendapatan yang bakal masuk secara bulanan, hasil daripada mengenakan kadar sewaan kepada penyewa itu. Namun, bukan semua indah khabar dari rupa. Tak ada jalan senang dalam menjana duit ni, kecuali kalau anda berusaha. Samalah dalam menghadapi proses untuk menyewakan hartanah anda, apa kata kita sama-sama kenal pasti 5 jenis penyewa dari neraka.

Kenapa dari neraka?

Penyewa-penyewa yang termasuk dalam 5 kategori ini adalah individu-individu yang bakal merosakkan potensi atau mencacatkan proses penyewaan hartanah anda sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Mereka bakal buat hidup anda merana macam dari neraka!

Jom kita tengok 5 JENIS PENYEWA DARI NERAKA:

PENYEWA DARI NERAKA JENIS #1 : JENIS TAK NAK BAYAR SEPERTI HAJI BAKHIL.

Jenis yang pertama ni memang menjadi mimpi ngeri bagi semua tuan rumah. Dah pandai pindah masuk tapi langsung tak nak bayar duit sewa. Dah try call, mesej, whatsapp, video call, email dan macam-macam lagilah, tapi semua tak reply, tak berjawab. Takkan nak hantar isyarat asap macam Red Indian atau hantar burung merpati? Okay punchline tak jadi. Haha gelak sendiri. Anyway, kalau anda dapat penyewa dari neraka jenis ni, mereka memanglah ada sifat degil yang tebal, serta tidak gentar dengan sebarang jenis ‘ugutan’ dari tuan rumah untuk melunaskan bayaran sewaan.

Macam mana nak handle dorang ni?

1. Berkomunikasi secara hati ke hati dengan penyewa.
+ Mungkin ini kedengaran kelakar bagi anda, tapi dengan berjumpa bertentangan mata serta berbincang dari hati ke hati, anda boleh menilai dan melihat sendiri latar belakang kepada punca masalah yang dialami penyewa tersebut dengan lebih mendalam. Tanya mereka kenapa tak nak bayar, apa masalah mereka hadapi, adakah mereka benar-benar mampu untuk bayar sewa dan sebagainya. Gunakan psikologi yang betul, bukan kekerasan atau paksaan. Bila anda bijak menangani penyewa dari sudut ini, pasti meraka akan nampak usaha anda dalam ‘memikat’ mereka untuk membayar sewa. Jangan pikat sebab lain pulak!

2. Berikan gambaran tentang akibat tak bayar sewa.
+ Beritahu mereka tentang perjanjian sewa yang telah mereka tandatangani dan akibat yang bakal terjadi dari sudut perundangan sekiranya mereka tak nak bayar sewa. Ingatkan juga kepada mereka, bahawa mereka bakal berhadapan dengan pengusiran (eviction) seperti yang termaktub di dalam perjanjian. Guna bahasa yang mudah dan sampaikan mesej dengan tegas tetapi secara berhemah. Sesetengah perjanjian sewa juga ada klausa misalnya, menyatakan bahawa sekiranya pengusiran terpaksa dilaksanakan dan sewa bagi bulan sebelumnya tidak dibayar, maka tuan rumah berhak menyimpan duit deposit sewa sebagai ganti rugi. Bila anda jelaskan semua ini, mereka akan dapat gambaran, maka mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab.

PENYEWA DARI NERAKA JENIS #2 : JENIS LAMBAT MACAM KURA-KURA.

Penyewa dari jenis kedua ini boleh dikatakan ‘baik’ sikit dari jenis pertama. Mereka ni kalau tuan rumah cuba hubungi kadangkala memang tak balas tak berjawab juga, tapi meraka memang akan bayar sewa. Cuma jenis mereka ini selalu lambat bayar. Ada yang lambat sehari, tu boleh tahan lagi. Ada yang lambat seminggu. Tu tuan rumah dah rasa macam kena jentik dihati dah. Ada pulak yang bayar lambat sebulan, dua bulan dan ada yang tangguh bayar sampai 6 bulan. Kau rasa tuan rumah macam mana? Rasa terbakar di hati macam nak dapat heart attack, kan?

Macam mana nak handle dorang ni?

1. Ingatkan, ingatkan, ingatkan dan ingatkan.
+ Ye, memang nampak menyakitkan hati tapi nak buat macam mana, kan? Nak dapat duit hak kita punya pasal, kita kenalah rajin ingatkan penyewa dari neraka jenis kedua ni. Mungkin mereka jenis pelupa, mungkin mereka tak reti lihat kalendar atau mungkin mereka ada kekangan kewangan yang melambatkan pembayaran mereka. So, anda selaku tuan rumah bertanggungjawablah menghantar surat atau sebarang mesej berbentuk peringatan kepada mereka.

2. Jelaskan akibat yang selebihnya.
+ Selesai anda beri peringatan kepada mereka ni, kalau mereka masih ‘buat dono’ dan lambat bayar, anda bolehlah bertindak sebagai contohnya, beri last warning atau peringatan terakhir atau mereka akan berhadapan dengan pengusiran. Nyatakan juga bahawa sikap berlengah mereka menyusahkan pihak anda. Buat mereka faham bahawa situasi ini tidak boleh berterusan dan harus diubah. Sarankan mereka supaya ikut dan tepati masa seperti di dalam perjanjian sewa.

PENYEWA DARI NERAKA JENIS #3 : JENIS PEMUSNAH ALA BOM NUKLEAR.

Oooh, jenis penyewa ketiga ni level ‘ke-neraka-an’ dia lain macam sikit. Kalau anda call atau mesej, mereka takda masalah untuk jawap. Cakap pun baik je. Kalau tanya pasal pembayaran pun, on time juga… tada masalah. Kadang kala tu, siap bayar awal. Tapi kalau anda jenguk hartanah/rumah anda, bersedialah dengan kejutan besar. Barangan atau ruangan rumah anda dirosakkan, dipecahkan dan dicacatkan. Pasti anda akan rasa sedih selepas berhempas pulas menyediakan rumah yang cantik dan selesa untuk didiami, tetapi akhirnya dimusnahkan oleh penyewa dari neraka jenis ketiga ini. Jangan sampai rumah anda hancur atau hangus terbakar pulak suatu hari nanti!

Macam mana nak handle dorang ni?

1. Siasat latar belakang penyewa dengan lebih mendalam.
+ Anda kena siasat latar belakang penyewa ni, dengan menekankan beberapa aspek seperti masalah perhubungan mereka (kebiasaannya bagi penyewa berkeluarga). Selalunya, mungkin terdapat pergaduhan yang mewujudkan kerosakan di dalam unit hartanah anda. Siasat juga latar belakang kesihatan mental mereka. Ini bukan perkara main-main ye, sekiranya mereka mempunyai masalah seperti ini, hubungi waris terdekat atau sanak saudara mereka untuk bantuan dan tindakan selanjutnya.

2. Kira kos kerosakan.
+ Akibat daripada kerosakan yang terjadi, ianya mengundang kos yang tinggi untuk anda membaiki atau mengganti barangan dan perkara-perkara yang telah rosak. Kira kos kerosakan dan hantarkan laporan kepada mereka. Sekiranya mereka masih berdegil dan meneruskan kerosakan seperti sebelumnya, buat laporan polis. Sebagai langkah tambahan, lindungilah rumah anda dengan insurans dan sebagainya supaya kos kerosakan seperti ini boleh diselesaikan.

PENYEWA DARI NERAKA JENIS #4 : JENIS LANGGAR PERATURAN SEBIJIK TAIKO GANGSTER.

Penyewa dari neraka jenis keempat ni pun boleh tahan perangai mereka kasi pening tuan rumah. Mereka mungkin sentiasa jawab panggilan anda dan juga sentiasa on time bayar sewa. Tapi mereka ni jenis tak makan saman sebab tak ikut peraturan yang anda tetapkan. Bagi mereka, mereka dah duduk rumah tu, itu hak mereka nak buat apa pun! Contoh peraturan yang dilanggar adalah bela binatang peliharaan, jadikan rumah tu sebagai pusat maksiat, bawak benda terlarang seperti dadah dan sebagainya serta melakukan pengubahsuaian pada unit rumah anda itu.

Macam mana nak handle dorang ni?

1. Periksa unit rumah dan bersemuka dengan penyewa.
+ Kenapa kena periksa? Pastikan anda ada bukti terlebih dahulu sebelum bersemuka dengan penyewa jenis ini. Mereka ni jenis taiko, so mereka tak nak kalah. Sediakan bukti seperti bukti bergambar dan lain-lain dan tegaskan kepada mereka, anda selaku tuan rumah maka hak dan peraturan adalah berdasarkan keputusan anda dan bukan keputusan mereka.

2. Kaji semula frasa dan klausa perjanjian sewa.
+ Teliti semula perjanjian sewa yang anda buat. Sekiranya perlu, lakukan penambahan dengan memasukkan peraturan yang anda mahu. Pastikan ayat dan frasa di dalam perjanjian itu jelas dan tepat maksudnya supaya tidak disangkal oleh penyewa di kemudian hari. Kalau perlu dapatkan nasihat dari lawyer tentang cara ‘to make a solid ironclad agreement’.

PENYEWA DARI NERAKA JENIS #5 : JENIS PARASIT MELEKAT SEPANJANG HAYAT.

Jenis penyewa ini macam kombo dari jenis-jenis di atas dan bergantung kepada dua situasi. Kalau mereka ada langgar peraturan dan anda mahu menamatkan sewaan serta mahu usir mereka, tapi mereka tetap akan degil tak nak keluar dari rumah itu. Situasi kedua pula, perjanjian sewaan telah habis dan anda mahu meningkatkan kadar sewaan, tetapi mereka degil hanya bayar ikut kadar sewa lama dan bila anda mahu usir, mereka tetap ‘melekat’ di rumah anda seperti parasit selama-lamanya. Tension, kan?

Macam mana nak handle dorang ni?

1. Tegaskan kuasa anda sebagai tuan rumah.
+ Anda perlu tegas dengan penyewa jenis kelima ni, sebab mereka punya degil ni ada pada level lain sampai tak mahu keluar rumah. Silap hari bulan mereka boleh tukar kunci rumah dan menyusahkan anda!

2. Lakukan proses pengusiran dengan cara alternatif.
+ Macam mana nak keluarkan mereka ini? Anda boleh guna cara psikologi terbalik atau reverse psychology, seperti contoh dengan meminta bantuan orang tersayang kepada penyewa itu untuk berbincang. Kalau tak jalan juga, boleh tanya pendapat rakan anda yang ada masalah seperti ini. Tanya juga pada mereka yang ada pengalaman dalam menangani proses pengusiran yang lancar. Kalau takda jalan juga, buatlah laporan polis sebagai langkah terakhir, selaras dengan undang-undang serta hak anda sebagai tuan rumah.

Best tak sharing kali ini? Lagi best kalau anda baca hal-hal pasal sewa atau sublet hartanah dan hal-hal lain berkaitan hartanah melalui produk-produk hasil nukilan sifu-sifu hartanah di bawah ini.

KLIK gambar di bawah untuk maklumat lebih lanjut:


PERHATIAN: Celik Hartanah tidak bertanggungjawab terhadap komen yang ditulis melalui laman sosial media facebook ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun fb dan tidak semestinya menggambarkan pendirian penulis. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

KOMEN PANDANGAN & PENDAPAT ANDA DI BAWAH:
Share Artikel Dapat Duit Tepi

About Izzat Rahimin

Izzat Rahimin
Ketua Konten CelikHartanah.com | FB: Izzat Rahimin