1. Tahun yang bagus untuk penyewa


Tahun 2017 akan menyaksikan banyak rumah baru akan siap. Ramai pemilik rumah akan berada dalam keadaan terdesak untuk bersaing mencari penyewa. Ketika rumah sewa lebih banyak daripada penyewa, tuan rumah terpaksa berperang memberikan harga yang lebih rendah daripada jiran, walaupun pada harga yang lebih rendah daripada apa yang tuan rumah ini perlu bayar kepada bank. Penyewa akan ada lebih banyak pilihan dan peluang untuk berunding kadar sewa dengan tuan rumah.

2. Rumah mampu milik akan menjadi trend


Apabila pasaran hartanah naik pada tahun 2010-2014, hampir apa saja yang dijual oleh pemaju akan habis direbut. Melihat kepada pasaran ekonomi yang baik ketika itu, banyak pemaju membina rumah ‘High End’ yang berharga lebih RM1,000,000. Tetapi malangnya tahun 2015 dan 2016, bila rumah-rumah ‘High End’ ini siap, ekonomi tidak lagi sihat seperti sebelumnya. Akibatnya telah ada banyak lambakan rumah-rumah ‘High End’ sehinggakan ada projek yang sudah siap dengan CCC (Sijil Kelayakan Menduduki) tetapi masih ada unit yang tidak terjual lagi.

Melihat kepada fenomena ini, pemaju akan beralih arah membina lebih banyak rumah mampu milik yang mendapat permintaan yang tinggi berbanding segmen produk  yang lain. Ini ditambah pula dengan galakan daripada kerajaan untuk pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik.

3. Saiz rumah lebih kecil
Tatkala pemaju akan banyak menyediakan rumah mampu milik dengan harga yang lebih murah daripada projek-projek sebelum ini, akan ada tekanan kepada pemaju untuk mengurangkan kos. Salah satu tindakan yang akan diambil oleh pemaju untuk mengurangkan kos dan membuatkan unit-unit mereka lebih mampu milik ialah dengan menawarkan rumah yang berkeluasan lebih kecil.

Sebelum tahun 2009, saiz apartment yang berukuran 1,100 kps menjadi kelaziman. Pada tahun 2010-2015 saiz 900 kps pula sudah boleh diterima oleh pembeli. Tahun 2017 ke atas akan menyaksikan lebih banyak unit yang ditawarkan dengan keluasan antara 700-900 kps.

4. Selatan Greater KL lebih menjadi tumpuan


Melihat kepada harga hartanah yang semakin tinggi di dalam Kuala Lumpur, pembeli akan mencari rumah yang lebih mampu untuk dimiliki. Bagi pembeli yang inginkan rumah-rumah bertanah seperti rumah teres, mereka ada pilihan yang banyak di kawasan Selatan Greater KL. Kawasan Selatan Greater KL ini meliputi kawasan di selatan lebuhraya SILK dan SKVE yang meliputi kawasan Kajang, Semenyih, Bangi, Cyberjaya, Salak Tinggi dan Nilai. Banyak projek-projek pemaju akan siap pada tahun 2017.

Kemudahan infrastruktur baru yang akan siap dan akan mula dibina akan lebih mengiurkan pembeli untuk membeli rumah di kawasan Selatan Greater KL. Antara infrastruktur yang akan siap ialah MRT SBK Sg Buloh-Kajang yang akan siap pada pertengahan tahun 2017 dan MRT SSP Sg Buloh-Serdang-Putrajaya yang akan siap pada tahun 2022.

PERCUMA ! TEKNIK LANGSAI HUTANG RUMAH 10 TAHUN  >> KLIK SINI <<

5. Peminjam rumah perlu prihatin kepada perubahan kadar faedah


Semenjak 2009 kadar faedah telah naik dan naik seperti tak nak jatuh. Sehinggalah apabila Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim mula mengambil alih jawatan daripada Zetty Akhtar Aziz, perkara pertama yang beliau lakukan ialah menurunkan OPR (Overnight Policy Rate) kepada 3% menyebabkan kadar faedah mula turun sedikit setelah sekian lama.

Tahun 2017 sangat sukar diramal samada Bank Negara akan mengubah OPR atau tidak ekoran ketidaktentuan dalam politik negara. Ini telah terbukti berlaku sebelum PRU ke-13 yang lalu di mana banyak ura-ura Bank Negara akan mengubah OPR tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan sehinggalah selesai PRU ke-13.

Peminjam pinjaman rumah perlu peka dengan perubahan OPR ini kerana jika mereka tidak bertindak sepatutnya sekiranya OPR berubah, mereka boleh kerugian sehingga berpuluh ribu ringgit atas faedah. Sekiranya OPR berubah yang menyebabkan kadar faedah juga berubah, peminjam harus membuat penyelarasan bayaran bulanan mereka.

Komen Pandangan Anda
5 Perkara Saya Jangkakan Dalam Hartanah Tahun 2017